" I'm so tired"
[Noble Quran 87:16-17]"
KaMi PeTuaLaNG PeNCaRi KeBeNaRaN, MeNCaRi MaKNa SeRTa HaKiKaT MaNuSia, kAmI bErjUAng mEnEgAkkAn kEhOrmAtAn, hIdUp muLIA AtAU mAtI sEbAgAI syUhAdA!!!
Segala puja-puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mengatur dan Menguruskan seluruh alam. Sesungguhnya dengan izin dan inayahNya jua kita dapat bertemu dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini.
Kepada semua, saya mengalu-alukan kehadiran dan keterlibatan dalam menjayakan muktamar ini. Marilah kita bersama-sama menjadikan muktamar kali ini sebagai wadah kepada muslimat untuk menaiki mata tangga perjuangan yang lebih tinggi. Moga segala penilaian, teguran, pandangan dan idea-idea baru yang dijana akan membakar lebih marak api kemaraan muslimat di dalam perjuangan ini.
MENYEMARAKKAN KEMENANGAN
Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.- at-Taubah: ayat 41
Sidang muktamar yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ya Malikul Mulk, Tuhan Yang Memiliki seluruh kerajaan di mukabumi ini. Allah yang telah memberikan kekuasaan dan kerajaan kepada gabungan Pakatan Rakyat melalui pilihanraya baru-baru ini di negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta seketika di Perak sebelum dirampas dengan rakus oleh Barisan Nasional dengan mengenepikan suara rakyat.
Sejarah telah melakarkan satu lagi keajaiban Allah s.w.t. yang mana gabungan Pakatan Rakyat merupakan parti-parti politik yang serba kekurangan telah dapat memenangi hati rakyat bagi membela nasib mereka dan menentukan halatuju serta masa depan negara. Jauh berbeza dengan gabungan Barisan Nasional yang tanpa segan silu menggunakan seluruh jentera kerajaan negeri dan pusat untuk kepentingan mereka bagi mempertahan kuasa.
Sesungguhnya fenomena ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa arus kehidupan rakyat yang semakin berubah dan matang, mahu memilih jalan hidup yang berteraskan kepada kebenaran dan keadilan sejagat yang sememangnya menjadi tuntutan Islam. Walaupun dicurahkan dengan segala bentuk kebendaan, ianya sudah tidak mampu memikat hati rakyat yang semakin sedar dan bimbang bahawa negara kita sedang menuju ke arah kehancuran.
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Secara sedar ataupun tidak, kita berhadapan dengan satu peradaban jahiliyyah yang berteraskan kapitalisma berdasarkan amalan riba' dan segala rupa bentuk materialisma yang mengakibatkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Satu peradaban yang dilihat sekarang telah menghasilkan kepincangan sistem kekeluargaan, pendidikan, ekonomi, sosial, dan perundangan. Ataupun boleh dikatakan seluruh sistem kehidupan sudah menampakkan tanda-tanda ke arah kehancuran.
Dalam keadaan kegusaran dan kebuntuan ini, kita lihat manusia mula tercari-cari jalan keluar dan mula mendekati Islam sebagai jalan penyelesaian kepada seluruh kepincangan dan kehancuran ini. Sememangnya Islam sebagai satu cara hidup telah pun menjanjikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia sejagat.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah menyeru (manusia) ke tempat kediaman yang sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada manusia yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) ke jalan yang betul dan lurus (yang selamat itu)."- Yunus: ayat 25
Oleh itu bermula dari kemelut ini, marilah kita bertekad untuk mengambil kesempatan yang datang ini untuk terus menyemarakkan kemenangan agar usaha-usaha dakwah dan pengislahan atau reformasi masyarakat dapat kita lakukan dengan lebih berkesan.
MENGUKUHKAN KESATUAN FIKRAH & AMAL
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Kita insafi bahawa kemenangan yang dianugerahkan Allah s.w.t. ini menuntut kita mengisinya dengan kebenaran dan keadilan Islam. Tuntutan perjuangan memerlukan kepada pengorbanan yang hebat. Juga keutuhannya memerlukan kesatuan fikrah dan amal yang jelas serta berterusan seperti ditunjukkan oleh para Nabi, Rasul dan seluruh pejuang Islam dahulu sehingga kini.
Usaha-usaha bagi mengukuhkan kesatuan fikrah dan amal adalah satu kemestian bagi jamaah Islam. Ianya dapat memastikan kesinambungan perjuangan dan tidak lari dari landasan sebenar. Muslimat PAS sendiri terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ulama', profesional, aktivis dan suri rumah yang menjadi 'grassroot' kepada perjuangan ini. Kepelbagaian latarbelakang muslimat ini merupakan pelengkap kepada kekurangan setiap pejuang yang akhirnya akan melahirkan satu saf muslimat yang dinamik umpama sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Kejelasan aqidah dan prinsip perjuangan merupakan teras dan dasar kepada kepelbagaian ini. Justeru akhirnya akan membawa kepada kemantapan dan kecemerlangan. Perbezaan pendapat dan pendekatan merupakan sifat kreativiti Allah Ya Musowwir dan Ya Khaliq. Allah s.w.t telah memberikan sifat tersebut kepada manusia agar manusia menjadi kreatif dalam usaha-usaha kembali kepada Allah s.w.t. dengan mengadun-jalin pelbagai idea dan pendekatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. - As-Saf: ayat 4
Oleh itu perbezaan-perbezaan yang wujud harus diterima sebagai kepelbagaian teknik dakwah yang harus merangkumi pelbagai jenis mad'u atau sasaran dakwah.
Dewan Muslimat PAS sentiasa menerima dengan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menggabungkan diri dalam perjuangan ini dan bersedia menerima teguran, pandangan dan pendapat demi kecemerlangan perjuangan.
MUSLIMAT BERINTERGRITI & BERPERANAN SEBAGAI DA'I KEPADA MASYARAKAT
Bagi memastikan kesatuan yang kukuh di kalangan jentera muslimat, usaha-usaha ke arah melahirkan muslimat yang bercirikan kepada muhajidah, berilmu, beriman, beramal, bertaqwa, beristiqamah serta berperanan sebagai da'i pada masyarakat mestilah dipertingkatkan.
Untuk itu, Dewan Muslimat Pas akan terus memberikan komitmen kepada usaha-usaha pembentukan kepimpinan dan amilin yang profesional melalui penubuhan akademi naqibah. Harapan kita ianya akan dapat mendidik dan melahirkan saf kepimpinan yang mampu memimpin wanita di semua peringkat, serta menjadi amilin yang mampu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk perjuangan suci ini.
Mudah-mudahan dengan itu kita para pendokong Muslimat akan termasuk di dalam golongan mereka yang berjual beli dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksudnya;
"Wahai orang-orang beriman, mahukah Aku tunjukkan perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenar). - as-Saf: ayat 10 : 11
PERANAN MEMANTAPKAN AKHLAK MASYARAKAT
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Dewan Muslimat PAS di semua peringkat hendaklah sentiasa memberikan komitmen yang berterusan bagi membawa masyarakat kepada berkeperibadian dan akhlak yang tinggi dan terpuji. Muslimat adalah agen perubahan bagi kemantapan kehidupan masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Sewajarnyalah berbekalkan dengan pentarbiyahan tenaga para da'i dari kalangan muslimat ini serta kesatuan fikrah berupaya menarik minat masyarakat ke arah matlamat yang diidamkan.
Muslimat menekankan akhlak terpuji di dalam semua aspek kehidupan termasuk aspek ekonomi, pendidikan, kekeluargaan, perundangan, kesenian, sukan dan sebagainya. Akhlak terpuji yang dibawa oleh Islam ini adalah seperti nilai-nilai jujur, amanah, bertanggungjawab, hormat menghormati, bantu-membantu, prihatin dan seumpamanya.
Sifat-sifat ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan keperluan manusia sejagat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. - al-Anbia: ayat 107
Begitu juga seluruh manusia menolak keperibadian buruk yang akan merosakkan kehidupan seperti rasuah, penyelewengan, amalan riba', mementingkan diri sendiri, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Di dalam usaha-usaha kita membina masyarakat berakhlak, Dewan Muslimat PAS ingin menegaskan bahawa ummat Islamlah sewajarnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat keseluruhannya. Tanggungjawab ini terpikul berat ke atas bahu Muslimat PAS.
Muslimat PAS harus berbeza dengan wanita yang tidak menjalani proses tarbiyah yang lain. Jika tidak akan jadilah keadaan sebagaimana perumpamaan yang menggambarkan keadaan 'ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul'.
Islam telah diturunkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Ummat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam dan meninggalkan cara hidup jahiliyyah yang dibawa oleh penjajah. Cara hidup yang kuat dipengaruhi oleh penjajah ini telah menyempitkan Islam sebagai hanya satu agama ritual dan telah diwarisi serta membelenggu ummat Islam hingga kini.
Umat Islam harus mengembalikan sistem perundangan Islam, pendidikan Islam, perubatan Islam, kekeluargaan Islam, ekonomi Islam, kesenian Islam dan sistem kerjaya yang berlandaskan Islam. Kembali kepada satu sitem hidup Islam sebagai ad-Deen - "Islam as a way of life" satu kehidupan yang diredai oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."- al-Baqarah: ayat 208.
Dewan Muslimat melalui program penerangan, kebajikan, perundangan akan terus memberikan komitmen yang sangat tinggi bagi membawa masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini kembali kepada cara hidup Islam dalam semua aspek kehidupan. Tidak lupa juga kita mendokong usaha-usaha Nisa memperkenalkan dan memikat para remaja kita ke arah cara hidup Islam yang syumul.
Membawa masyarakat keluar daripada kemelut kehancuran institusi keluarga
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap masalah yang menimpa institusi keluarga khususnya umat Islam. Kadar perceraian yang tinggi dan sangat mencemaskan menunjukkan penyakit yang kronik sedang menimpa institusi keluarga.
Dewan Muslimat ingin menegaskan bahawa institusi keluarga mestilah kembali kepada peranannya yang asal iaitu melahirkan dan membina ummat yang memperjuangkan kehidupan yang diredai oleh Allah SWT.
Hari ini kita dapati matlamat perkahwinan bukan lagi untuk membina keluarga yang menjadi batu-bata masyarakat yang kukuh. Malang sekali ianya seolah-olah telah menjadi tempat dimana dunia dan wang ringgit menjadi matlamat sehingga melupakan tanggung jawab isteri, suami untuk memberi kasih sayang dan mendidik anak-anak.
Kekusutan hubungan suami isteri yang sangat mencemaskan ini, akhirnya membawa kesan negatif kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak terabai dan membawa mereka kepada gejala sosial yang melalai dan merosakkan mereka.
Menyedari akan hakikat ini, Dewan Muslimat perlulah mengembelingkan tenaga bagi membuat program-program kesedaran dan pengisian rohani bagi membawa mereka kembali kepada fitrahnya yang asal dan akhirnya akan membawa kepada keharmonian rumahtangga.
MENGUBAH MINDA WANITA MALAYSIA
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Wanita Malaysia perlulah dibawa ke arah mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Sebahagian mereka perlu mengubah minda sedia ada yang selama ini dibelenggu dengan pelbagai kepercayaan dan prinsip yang negatif, akibatnya mereka mundur dari segala aspek.
Kekurangan ilmu tentang kehidupan termasuk perundangan, hak-hak wanita, pendidikan dan ekonomi menjadikan masih ramai wanita Malaysia hari ini hanya mampu mengikut arus dan tidak mampu berfikiran kritis, proaktif dan inovatif. Usaha-usaha perlu kita lakukan bagi membawa wanita kepada kecemerlangan serta mampu memilih yang benar dan yang salah.
Tegas Allah SWT pada firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." - Az-Zumar: ayat 9
Pemikiran negatif yang berpada dalam 'zon selesa', takut untuk mencuba perkara baru, takut gagal, takut mengambil risiko dan tidak mampu menempuh ujian dan dugaan dengan penuh ketabahan menjadikan ramai kaum wanita Malaysia khususnya wanita Melayu hanya menjadi pengguna, tetapi tidak mampu mencipta produk baru dan pendekatan baru.
Masalah ini ditambah lagi dengan sikap malas, suka mencari jalan pintas, suka bergantung kepada orang lain dan tidak mahu berusaha. Akhirnya masih ramai wanita-wanita ini tertipu dengan pelbagai tipudaya skim cepat kaya dan seumpamanya.
Oleh itu, Dewan Muslimat perlulah memberikan komitmen yang tinggi melalui pelbagai program penerangan. Sasarannya adalah termasuk wanita bandar, luar bandar, warga emas khususnya wanita Melayu. Usaha-usaha ini bagi mengubah minda mereka daripada berfikiran negatif dan statik kepada pemikiran positif dan dinamik yang akan menggerakkan perubahan di dalam masyarakat.
MENGUASAI POLITIK NEGARA
Politik negara kita hari ini telah dicemari dengan pelbagai amalan rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan. Ramai ahli-ahli politik di negara ini telah dilabelkan oleh sebahagian besar rakyat sebagai perompak harta negara, yang mana mereka menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mendapatkan keuntungan dan wang ringgit bagi kepentingan diri.
Kesibukan mencari ruang-ruang kepentingan diri menyebabkan kurangnya masa untuk memikirkan pembangunan negara dan kepentingan rakyat. Sekiranya ada yang mengkritik dan membangkang, maka pelbagai tindakan politik akan dikenakan sehingga ramai yang terpaksa berdiam diri walaupun nampak penyelewengan yang jelas di depan mata mereka.
Namun begitu, PAS dan parti-parti rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak pernah gentar dengan ugutan dan tindakan mereka. Kebenaran dan keadilan terus dilaungkan dan ditegakkan. Dewan Muslimat ingin menegaskan kepada semua aktivitis PAS dan Pakatan Rakyat bahawa kami sentiasa memberikan sokongan padu dan akan terus bersama walau apa dugaan sekalipun yang akan mendatang.
Dewan Muslimat akan bersama menyumbangkan usaha-usaha yang telah dirancang oleh PAS Pusat dalam agenda membawa ciri-ciri Islamiyah dalam berpolitik dan bernegara. Sesungguhnya kesyumulan Islam hanya dapat dinikmati melalui amal yang berterusan bukan sekadar retorik sahaja.
Jika tidak terjadilah suasana seperti UMNO yang mengagungkan Islam sebagai satu tamadun lampau yang dapat dilihat kesyumulannya hanya pada lipatan sejarah dan juga pada lembaran kertas kitab-kitab yang tersusun baik di perpustakaan.
PERANAN MUSLIMAT DALAM PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG & HALA TUJU NEGARA
Dewan Muslimat PAS tidak ketinggalan memainkan peranan dalam penggubalan undang-undang negara. Muslimat yang diwakili oleh beberapa orang tokoh Muslimat yang menjadi Ahli Dewan Negara (Senator), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terus menerus memperjuangkan kebenaran dan keadilan, membela mereka yang tertindas serta mereka yang menjadi mangsa politik Barisan Nasional.
Peranan muslimat dalam menentukan hala tuju negara akan semakin terserlah dengan lahirnya tokoh-tokoh muslimat di kalangan pengamal undang-undang, pengamal perubatan, ahli-ahli akademik, ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat.
Dewan Muslimat mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua cendikiawan muslimat yang sanggup mengorbankan status dan jawatan mereka demi perjuangan.
MENYOKONG KONSEP KERJASAMA POLITIK
Dewan Muslimat juga menyokong sepenuhnya setiap keputusan Majlis Syura Ulama dalam menangani cabaran politik tanah air seperti konsep Tahaluf Siyasi dan sebagainya.
Dewan Muslimat sangat menghargai semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh rakan-rakan daripada parti-parti PKR dan DAP yang menghormati Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Harapan kita persefahaman dan semangat setia kawan ini dalam gabungan Pakatan Rakyat dapat diperkukuhkan lagi.
Dewan Muslimat juga sangat menghargai sumbangan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang telah banyak membantu PAS terutama di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Sokongan padu mereka ini membuktikan PAS telah mampu menunjukkan keperibadian yang dapat diterima oleh semua pihak termasuk dari kalangan bukan Islam.
MEMBINA GENERASI PELAPIS NEGARA
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Sedarilah bahawa terlalu ramai para remaja telah rosak aqidahnya, yang memerlukan sumbangan kita untuk membawa mereka kembali kepada fitrah asal sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Banyak pihak hari ini lalai dan leMAka tidak menyedari akan perancangan musuh Islam yang menyerang secara gerak saraf dengan menghantar hiburan, pelbagai jenis dadah yang merbahaya dan merosakkan kesihatan, arak, budaya rempit, lepak dan sebagainya sebagai senjata bagi menghancur masa depan generasi muda kita.
Malah mereka yang dihantar untuk pemulihan ke pusat-pusat seranti semakin bertambah dari hari ke hari. Agenda pemulihan ini amatlah sukar dan kurang berkesan serta memakan belanja yang sangat besar. Sesungguhnya cara Islam yang mengutamakan pencegahan adalah lebih berkesan dan terjamin kejayaannya.
Proses kehancuran ini dipercepatkan lagi dengan internet yang telah disalahgunakan untuk menyebarkan bahan-bahan lucah dan perkara-perkara mungkar. Pihak yang bertuhankan wang ringgit ini telah menggadaikan masa depan generasi muda demi kepentingan mereka sendiri.
Dewan Muslimat bersama Nisa sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi mendekati para remaja bagi memujuk mereka kembali kepada cara hidup Islam. Nisa telah mula memantapkan jenteranya melalui pelbagai unit yang sesuai dengan jiwa remaja termasuk unit dakwah, kaunseling, kebudayaan dan sukan bagi menyediakan diri sebagai rujukan kepada para remaja yang bermasalah dan kehilangan panduan hidup.
Dewan Muslimat PAS juga menyedari akan fungsi cendikiawan muda terutama dari kalangan mahasiswa yang seharusnya memainkan peranan penting di dalam membawa para remaja kembali kepada Islam. Keupayaan minda dan intelek yang dikurniakan Allah SWT harus digunakan untuk memikirkan pelbagai pendekatan dan teknik bagi menarik kembali mereka yang telah terpesong ke jalan yang lurus.
Dewan Muslimat PAS juga mendesak pemansuhan akta AUKU yang telah mematikan sifat kritis dan kreativiti mahasiswa yang akhirnya melahirkan ramai mahasiswa yang jumud, beku dan tidak prihatin terhadap segala permaslahan masyarakatnya.
Dewan Muslimat PAS sentiasa memberi komitmen untuk membawa mahasiswa kepada hala tuju yang sebenar iaitu sebagai pemimpin masa depan yang akan menggunakan seluruh kekuatan intelek yang dikurnia Allah s..w.t bagi merancang masa depan negara. Seterusnya memainkan peranan membawa negara ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
SOKONGAN GENERASI MUDA
Dewan Muslimat PAS merasa sangat terharu dengan perubahan yang ditunjukkan oleh generasi muda di dalam beberapa pilihanraya-pilihanraya kecil baru-baru ini. Walaupun dalam keadaan keperibadian yang tidak sepenuhnya Islam, mereka masih yakin untuk menerima PAS sebagai satu wadah untuk mengubah nasib mereka.
Ini menunjukkan generasi muda sudah sedar akan kerosakan dan kehancuran yang sedang mereka alami dan ingin kembali ke pangkal jalan bersama-sama dengan PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Dewan Muslimat PAS ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang padu yang diberikan oleh generasi muda hari ini. Marilah sama-sama kita berganding bahu melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada semua generasi muda di Malaysia ini dan membawa mereka kembali ke jalan fitrah asal mereka.
MUSLIMAT & AGENDA KEBAJIKAN
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Di dalam kemajuan negara yang dibanggakan oleh kerajaan BN, sebenarnya masih ramai lagi rakyat yang dhaif, tertindas, teraniaya dan yang tidak cukup keperluan hidup dan masih memerlukan bantuan. Perbezaan antara golongan kaya dan miskin sudah mulai menampakkan jurang yang sangat besar.
Ini adalah kerana sistem zakat kerajaan BN hari ini tidak mampu melaksanakan fungsinya secara berkesan. Ditambah lagi dengan situasi ekonomi berasaskan kapitalisma dan materialisma yang semakin lumpuh, bilangan rakyat miskin akan meningkat hari demi hari.
Dewan Muslimat PAS juga menyedari bahawa rakyat negara ini bukan sahaja miskin harta, tetapi juga miskin agama. Jentera kerajaan BN yang ditugaskan memberi ilmu agama kepada rakyat tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik. Islam hadhari yang diperjuangkan kerajaan BN tidak menampakkan sebarang kesan dalam membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup.
Mewujudkan pusat khidmat bersepadu (One Stop Center)
Menyedari akan situasi rakyat yang semakin kronik, Dewan Muslimat PAS telah memberi komitmen yang tinggi selama ini terutama bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat dan NGO yang memperjuangkan kebajikan rakyat dalam membantu golongan miskin, tertindas, teraniaya dan kurang upaya mengikut keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t.
Dewan Muslimat juga sedang berusaha untuk menubuhkan Pusat Khidmat Bersepadu (One stop center) di semua peringkat bagi membolehkan masyarakat berbilang kaum datang untuk mendapatkan pelbagai khidmat mengikut kemampuan PAS.
Ketrampilan muslimat sebagai rujukan masyarakat
Bagi memberikan pelbagai perkhidmatan alternatif kepada masyarakat, sudah tentulah Muslimat harus menyediakan jentera kebajikan yang ramai dan berkebolehan serta mempunyai ketrampilan bagi membolehkan muslimat menjuarai kerja-kerja kebajikan dan pembelaan.
Oleh itu Dewan Muslimat PAS menyeru kepada semua ahli muslimat agar menyediakan diri dengan pelbagai kebolehan dan kemahiran agar kita boleh memberi sumbangan melalui pusat khidmat ini. Dalam masa yang sama, Dewan Muslimat juga menyeru seluruh muslimat yang bekerjaya yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk turun padang bersama seluruh jentera muslimat bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"PAS FOR ALL" mempertegaskan PAS sebagai wadah pilihan ummah
Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah, agenda "PAS FOR ALL" telah banyak menarik minat pelbagai golongan untuk mendekati PAS. Walaupun selama ini PAS sememangnya sentiasa bersikap terbuka, namun dengan penekanan ini, PAS telah mampu dilihat sebagai wadah pilihan untuk pelbagai golongan dan kaum bagi memperjuangkan hak masing-masing.
Sifat keterbukaan, kerendahan hati dan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS telah mampu meningkatkan kepercayaan pelbagai golongan untuk menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan pilihan mereka.
Dewan Muslimat PAS bersama dengan seluruh jentera PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat berusaha untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam menunaikan hasrat ahli-ahli Kelab Penyokong PAS khususnya dan seluruh rakyat yang memerlukan bantuan.
MANSUHKAN AKTA RIMBA ISA
Dewan Muslimat mengulangi ketegasan bahawa akta rimba ISA ini mesti dimansuhkan segera. Kami amat bersimpati di atas penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA. Mereka yang tidak berdosa ini tersepit dan dizalimi oleh tindakan zalim kerajaan yang memenjarakan suami-suami mereka tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri di mahkamah terbuka.
Sesungguhnya tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu-bapa dan kaum kerabatmu, jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran, dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan." - an-Nisa: ayat 135
MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN DI MANEK URAI
Kita melihat senario yang amat ganjil sekarang dimana BN yang diterajui oleh UMNO begitu 'phobia' dalam menghadapi pilihanraya kecil di Malaysia. Terutamanya di kawasan dimana kedudukan Pakatan Rakyat adalah kuat dan dapat menyaingi BN.
Berbagai helah akan dicari dengan memperalatkan SPR dan menggunakan mahkamah untuk mengelak berlakunya pilihanraya kecil. Sehingga kini dengan izin Allah s.w.t. BN telah kalah berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang dengan majoriti yang besar. Sesungguhnya mereka merancang dan Allah s.w.t juga merancang. Akhirnya BN menarik diri dari bertanding di Penanti.
Setelah dengan rakus merampas kerajaan Perak, kini BN terdesak dan mencari helah supaya tidak berlaku pilihanraya kecil di seluruh negeri Perak. Kita tetap mengulangi desakan rakyat agar mereka diberikan hak memilih kerajaan Perak yang mereka inginkan. Tiada pilihan lain bagi penyelesaian kemelut di Perak hanyalah sebaik-baiknya mengada pilhanraya bagi rakyat memilih kerajaan yang mereka yakin dan sokong sepenuhnya.
Kini kita diuji pula dengan kekosongan di DUN Manek Urai, Kelantan. Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mestilah bersiap siaga bagi mempertahankannya.
Muslimat akan mempertingkat usaha-usaha ke arah mencapai kejayaan yang cemerlang di Manek Urai. Tidak lupa juga doa dan munajat yang berterusan dipohonkan terhadap Allah s.w.t agar kemenangan berpihak kepada kita.
PENUTUP
Marilah kita meneguhkan parti kita dengan ciri-ciri Islamiyah ke arah penghayatan Islam yang syumul dalam mentadbir dan mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Usaha-usaha mengekal keyakinan serta melipat gandakan sokongan rakyat bukan Islam yang kita dapat selama ini, mestilah dipergiatkan. Seharusnya Kelab Penyokong PAS diberikan peranan yang lebih besar bagi meraih dan mengekalkan sokongan mereka terhadap parti kita.
Marilah kita memohon kepada Allah s.w.t agar melempahkan rahmat dan keampunanNya kepada kita dan saudara-saudara kita yang telah mendahului kita menemuiNya.
Akhir sekali, marilah kita dengan segala rendah hati memohon agar Allah s.w.t memberkati Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini, supaya berjaya menjana rumusan dan tindakan susulan yang matang.
Saya mengajak Muslimat sekalian bersama-sama melaksanakan aspirasi MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-49 ini dengan tema:
"MENYEMARAK KEMENANGAN, MENYATU RAKYAT"
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wasalamu'alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Tertarik melihat dua orang sahabat penaip yang begitu khusyuk menatap skrin laptop pada malam itu membuatkan penaip menyibuk sekali untuk mengetahui apa yang menjadi perhatian mereka ketika itu. Ianya adalah sebuah tayangan video mengenai zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. saat penaip menonton sekali bersama mereka ialah saat ketika video sedang menayangkan mengenai zaman perkembangan ilmu di bawah pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz. Penaip sangat kagum dengan budaya ilmu yang pada ketika itu berkembang dengan sangat baik sehingga terpacul keluar dari mulut penaip,
" Tak dapat nak bayangkan suasana macam ni",
Apabila memikirkan ke manakah hala tuju anak muda zaman sekarang, penaip amat risau.. Bagaimana dengan nasib anak-anak muda pewaris generasi masa akan datang.. Terbayang wajah adik- adik penaip yang kini menginjak ke alam dewasa. Persekitaran baru yang amat penaip risaukan. Kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang kian membarah sudah terlalu banyak didengari,ditonton malah dilihat sendiri oleh mata kasar kita. Namun, apa tindakan kita? Ianya seolah-olah seperti gigitan nyamuk bagi kita, sekejap terasa gatalnya tapi dilupakan semula.
Menyentuh mengenai peluang pendidikan yang diterima di sekolah, mungkin ramai yang bertuah kerana masih mempunyai mak dan ayah yang menanggung perbelanjaan persekolahan. Bagaimana dengan kawan-kawan yang terpaksa membantu keluarga mereka mencari sesuap rezeki disamping mengejar pembelajaran yang diadakan di sekolah. Begitu juga kawan-kawan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian di sekolah atas desakan hidup. Itu bagi mereka yang benar-benar mahu meneruskan pengajian, ada keinginan untuk belajar tetapi tidak mempunyai kesempatan. Bagaimana pula dengan golongan yang mempunyai segala-galanya, keluarga, wang dan kelengkapan lengkap untuk ke sekolah? Tapi, mereka masih tidak berminat untuk meneruskan pengajian atas alasan “ alah, gaji mak bapak aku setahun pun da cukup biaya aku dan 7 keturunan aku”.. Namun begitu,ada juga di kalangan mereka yang tidak bernasib baik ini, tidak berminat untuk menuntut ilmu malah mensia-siakan usaha,titik peluh ibu bapa yang menghantar mereka ke sekolah.. Di mana silapnya? Jiwa mereka kosong…
Teringat satu peristiwa semasa prapraktikal dulu, di mana pernah terdetik dalam fikiran penaip untuk marahkan seorang murid kerana cuba mengoyakkan seluar sekolahnya di bahagian lutut. Terngiang-ngiang ayat-ayat yang penaip ingin hamburkan padanya, bergema-gema di dalam kepala penaip namun semua ayat-ayat itu tak mampu penaip keluarkan. Apa yang penaip lakukan hanyalah meminta pisau nipis yang sedang dipegang olehnya yang digunakan untuk mengoyakkan seluar tersebut. Pada mulanya dia enggan, lalu dia memotong rambut kawannya pula. Penaip bertegas inginkan pisau yang berada di tangannya. Pada ketika itu, mungkin atas desakan rakan sekelasnya dan mereka tidak pernah melihat penaip menunjukkan muka marah yang teramat sangat di dalam kelas itu, akhirnya dia menyimpan kembali pisau itu. Bukan penaip marahkan dia membawa pisau itu, tapi tindakannya yang ingin mengoyakkan seluar itu yang penaip tak boleh nak maafkan. Penaip kenal ibu bapanya. Mereka berhempas pulas mencari wang seringgit dua untuk menyara hidup mereka anak beranak, namun tindakan murid ini,hampir-hampir menggugat kesabaran penaip pada ketika itu. Andai mereka tahu betapa susahnya ibu bapa mereka mencari wang untuk membeli seluar sekolah tersebut, nescaya untuk mengotorkannya sahaja mereka tidak sanggup.
“ Sekali lagi cikgu nampak awak buat macam tu, cikgu amik pisau tu,”. Hanya itu yang mampu penaip ucapkan.
Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini. Saat itu, terasa betapa beratnya tugas sebagai pendidik.Ingin sekali penaip membebel dan meleteri kelas itu mengenai jasa ibu bapa yang selama ini bersusah payah mencari sesuap rezeki untuk kita, tapi kita tak menghargai langsung usaha mereka. Tapi, entah mengapa, sukar benar mahu dituturkan pada ketika itu. Melihat wajah-wajah di dalam kelas itu yang sememangnya kerap menjadi mangsa leteran cikgu-cikgu lain membuatkan penaip membatalkan niat tersebut. Kelas itu terdiri daripada 12 murid-murid tingkatan satu yang masih tidak tahu membaca dan menulis. Ada 3 orang murid perempuan manakala yang lain adalah lelaki. Pada peristiwa tersebut, penaip ditugaskan supaya menggantikan GPK HEM, Ustazah Azizah untuk subjek Agama Islam. Ini merupakan kali kedua penaip ditugaskan untuk masuk ke kelas ini dan merupakan kelas yang paling penaip suka masuk. Selalu tertunggu-tunggu bila nak dapat ‘relief class’ kat kelas ni..
Kali pertama, penaip ditugaskan untuk menjaga peperiksaan subjek pendidikan seni. Pada ketika itu, memang tak macam periksa pun penaip jaga. Mereka bebas datang kepada penaip untuk bertanyakan apa yang soalan mahukan. Dan satu tabiat murid dalam kelas ni, diorang memang tak lekat di tempat duduk masing-masing. Mesti ada yang berjalan ke sana ke mari. Ketika penaip berada di meja rakan mereka untuk menerangkan mengenai kehendak soalan, mesti ada seorang dua yang datang mendengar sekali. Penaip sukakan semangat ingin tahu mereka dan membiarkan sahaja mereka bergerak kesana kemari ketika peperiksaan berlangsung. Pada waktu tersebut, penaip menyalahkan sistem peperiksaan yang memberikan soalan yang sama dengan tahap murid-murid yang berada di kelas-kelas yang lebih maju daripada mereka. Mana mungkin mereka boleh menjawab soalan sedangkan murid-murid di dalam kelas tersebut masih merangkak untuk membaca. Soalan yang diberikan adalah berbentuk soalan objektif dan beberapa soalan subjektif.
Pada kali kedua, Ustazah Azizah mengarahkan penaip memberi jawapan peperiksaan kepada mereka. Ketika melangkah masuk ke kelas mereka, beberapa murid yang bukan beragama Islam keluar dari kelas dan tinggallah beberapa orang sahaja di dalam kelas tersebut. Semuanya lelaki. Yang perempuan 2 orang merupakan penduduk pribumi ( orang asli) manakala seorang lagi adalah berketurunan India, beragama Hindu. Selain itu, beberapa orang lelaki ‘pribumi’ turut keluar. Sebelum membenarkan penaip mengambil alih kelas tersebut, Ustazah Azizah memberikan kembali kertas-kertas jawapan mereka. Kebanyakkannya ‘kosong’ tanpa ada sepatah perkataan. ‘No wonder’ lah, sebab mereka dapat soalan yang sama dengan murid-murid lain. Ustazah Azizah berpesan kepada penaip supaya mengarahkan mereka membuat latihan ejaan perkataan yang ada dalam agama Islam. Penaip terpana seketika.
“ Semua perkara dalam dunia ni ada kaitan dengan agama Islam, contohnya pokok kat luar tu, mesti ada penciptanya, begitu juga dengan diri kita…..” Penaip memulakan pelajaran pada hari itu.
Ketika penaip meminta setiap orang sediakan sehelai kertas kosong dan pen untuk sesi ejaan seperti yang diarahkan oleh Ustazah Azizah, hanya beberapa orang sahaja yang mengeluarkannya. Yang lain tidak mempunyai kertas kosong malah buku-buku yang lain juga tiada. Alasannya tertinggal di rumah.
“awak nak suruh wan awak baca buku kat umah ke?” sindir penaip. Dah macam mak nenek dah aku masa tu.
“ Sape ada ketas lebih, bagi kat kawan awak ni, ketas kecik pun tak pe, asal boleh tulis..”
“Pensel pun tak de? Sape nak dapat pahala, bagi pinjam pensel kat kawan awak ni..”
Penaip banyak menggunakan bahasa kampung dalam sesi pelajaran kerana penaip lebih selesa menggunakannya. Ternyata mereka jenis yang mendengar kata, cuma mereka agak lambat untuk menerima sesuatu. Memang penat melayan ‘hujah-hujah’ mereka namun melaluinya penaip dapat menyelami perasaan mereka. Ketika kelas berlangsung, rakan-rakan non muslim berlegar-legar di luar kelas. Rupa-rupanya subjek pendidikan moral diorang takde cikgu yang masuk, jadi penaip pun arahkan mereka masuk ke kelas.
“ Eh, mana boleh masuk kelas agama Islam ustazah, dorang kan orang asli,” ucap salah seorang murid.
“ La.. apa salahnya, sape cakap dorang tak leh masuk? Ha, yang kat luar tu, masuk, duduk dalam kelas ” Balas penaip, sedikit kecewa dengan mind setting mereka terhadap pelajar bukan Islam.
Ketika kelas hampir berakhir, barulah penaip perasan akan tingkah laku seorang murid ni. Kelihatan dia mengguris-guriskan sesuatu di lututnya. Terjadi la peristiwa yang penaip ceritakan dia atas tadi.
Bermacam-macam karenah murid-murid yang penaip hadapi ketika pra praktikal dahulu. Pernah penaip dipermainkan oleh seorang ‘budak kecik bertelinga cegeng’ dan pada ketika itu, satu blok kelas ketawakan penaip. ‘Aduh, membara gila ku rasakan ketika itu. Heh, nasib baik aku kenal mak bapak korang, buatlah pelik-pelik, aku report kat mak bapak korang’. Tapi yang tak tahannya, penaip tergelak sekali ngan dorang, huhu.. Tak sempat nak marah ‘budak telinga cegeng’ tu.. Agaknya sebab tu kot orang lain gelak sekali.. Jujur penaip katakan dalam minggu pertama, memang takde semangat langsung nak jadi cikgu. Soalan ‘betul ke aku nak jadi cikgu ni’ seringkali berlegar-legar dalam kepala penaip. Tapi, bila dah kenal sedikit sebanyak ‘feel’ dan telatah murid-murid, azam untuk membentuk mereka menjadi ‘manusia’ terpahat tebal di jiwa ini.. Manusia zaman ini sudah tidak lagi berfungsi sebagai seorang manusia.
~Berdasarkan pemerhatian penaip ketika prapraktikal, kepada pendidik di luar sana, elakkan bersikap terlalu cepat menghukum. Kadang-kadang sikap kita yang terlalu cepat menghukum akan membentuk pelajar yang cepat menerima apa sahaja pandangan negatif kita terhadap dirinya dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa dirinya tidak mempunyai harapan untuk berubah kearah yang lebih baik~