Bismillahi Wal Hamdulillah
Melalui program misi kemanusiaan atau menjayakan misi seumpama kita menebar kebaikan yang sangat luas manfaatnya kepada manusia. Nabi SAW sentiasa merangsang umatnya membantu dan menyantuni yang lain. Gerak kerja dakwah Nabi dipakejkan dengan kerja berbuat kebaktian kepada manusia, manusia tidak cukup dengan syarahan berapi tentang akidah dan tauhid, mereka ingin merasa tangan kita membantu mereka yang dalam kesusahan. Sebuah riwayat tentang kesantunan Nabi SAW dan bukti sejarah tentang Muhammad, seorang tokoh misi bantuan : Dari al-Munzir bin Jarir, dari bapanya r.a, katanya,: “semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada waktu tengahari ( di masjid Nabi di Madinah ), tiba-tiba datang satu rombongan ( dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat-sangat miskin ) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang camping, berubahlah air muka Rasulullah SAW kerana melihatkan penderitaan mereka. Lalu Baginda masuk (ke rumahnya: yang terletak di tepi masjid) kemudian keluar semula, lalu menyuruh Bilal azan. Bilal pun azan dan iqamat, lalu Baginda ( bersama-sama siding jemaah) mengerjakan sembahyang ( Zuhur ). Selepas sembahyang, Baginda (bangun) berucap ( menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Quran yang bermaksud :
“wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam)…..” hingga akhir ayat.
Nabi SAW terus membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), surah al-Hasyr yang maksudnya : (Wahai orang – orang yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah dia sediakan dari (amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)…”
(Rawi hadith ini berkata: Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya, dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga Baginda bersabda : ( bersedekahlah) walau dengan sebiji kurma sekalipun.”
Katanya lagi: “ tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat, hampir-hampir tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya”. Setelah itu, orang ramai pun datang berduyun-duyun (membawa sedekah, masing-masing menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian. Pada saat itu, aku melihat wajah Rasulullah SAW berseri-seri seperti benda indah yang keemasan (kerana gembira) lalu baginda SAW bersabda : “ Barangsiapa membuat satu rancangan yang baik untuk Islam maka ia akan mendapat pahala rancangannya itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.”
“Dan barangsiapa yang membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun.” (Hadith sahih-Riwayat Muslim).
Berdasarkan hadith yang panjang tadi menunjukkah kepada kita Nabi SAW ialah seorang insan yang sangat mengambil peduli tentang nasib dan kesusahan orang lain. Malah lebih murni Nabi menggalakkan para sahabat turut membantu meringankan beban penderitaan manusia lain.
Terdapat pelbagai kisah menyantuni manusia lain yang ditunjukkan oleh Nabi dan sahabat-sahabat generasi awal, dakwah beriringan serentak dengan kerja amal membantu yang susah. Kesannya, ladang dakwah menjadi begitu subur meranum sehingga disaksikan keindahan Islam oleh masyarakat bukan Islam dan membawa mereka kepada agama ini.
~ kami sambung perjuanganmu,walau kita tak pernah bersua, tapi kami tak pernah kecewa, Allah dan Rasul sebagai pembela~
No comments:
Post a Comment