Saturday, May 9, 2009

CiLi aPi + iKaN Bilis + PeRaHaN LiMau NiPis = PeDaS TaPi SeDaP..

Bismillahi Wal Hamdulillah...



Beberapa penguasa tidak dikenali tanpa uniform, dengan hanya mengenakan tag 'pegawai rasmi' telah menyerbu Pasar Malam Jalan SS6/1, Kelana Jaya dan merampas kuih denderam Mak Mah.

Mak Mah yang nama sebenarnya Semah Manis terkenal dengan denderam yang membawa pelbagai jenis slogan seperti 'Denderam Hadhari', 'Denderam Harapan Baharu', 'Denderam For All', 'Membangun Bersama Denderam', 'Pandang ke Denderam', 'Mohon Restu Denderam', dan 'Denderam 2020'.

Dua hari lepas, Mak Mah memperkenalkan 'OneBlackDenderam' yang lebih rapuh dan sedap digigit sambil menonton berita perdana di stesen televisyen utama.

Mak Mah memberitahu Buletin Berita Hairan, beberapa lelaki berbadan sasa datang tiba-tiba ke gerai, dan berusaha merampas tapak gerainya. Mak Mah bagaimanapun berdegil dan duduk di atas tong gas dari jam 9 pagi sehingga 3 petang.

Dalam pada itu, apa yang lebih membingungkan seorang lelaki yang tidak dikenali telah datang di hadapan gerainya dan tidak semena-mena mengaku tapak gerai tersebut adalah tapak gerainya. Lelaki itu mendakwa tong gas Mak Mah adalah tong gasnya. Mak Mah yang terkejut dengan dakwaan itu telah melaung dan meneriakkan kata-kata seperti 'pembohong', 'penyewa tapak haram', 'kau keluar' dan berbagai-bagai lagi. Mereka kemudian berbalas kata-kata dengan riuh rendah sekali. Wartawan Buletin Berita Hairan melaporkan berlaku tolak menolak, tumbuk menumbuk dan singgung menyinggung antara satu sama lain.

Drama perampasan tapak gerai, dan kuih denderam itu ditonton oleh ramai pengunjung pasar malam yang terkejut naga melihat episod pencabulan hak Mak Mah sebagai penjual denderam yang telah lama berada di situ. Mereka kemudian beredar setelah muncul lebih ramai 'pegawai rasmi' yang menahan seorang demi seorang pemerhati.

Setelah Mak Mah berdegil tidak mahu bergerak, kumpulan lelaki sasa dengan tag 'pegawai rasmi' itu telah bergasak dengan Mak Mah seraya mencekik lehernya dengan tali rafia. Ini termasuklah menyucuk buntut Mak Mah dengan sudip dan senduk supaya buntut Mak Mah yang melekat pada tong gas tersebut terjungkit. Lelaki berbadan sasa turut menerbalikkan kuali menggoreng denderamnya sehingga terlambak minyak panas di atas jalan. Mak Mah kemudian dicekam dan diheret keluar dari tapak gerainya. Mak Mah hanya sempat menjerit, 'Aku kena tangkap.'

Oleh kerana Mak Mah ditarik keluar secara paksa, ia telah membolehkan lelaki yang tidak dikenali dengan sepantas kilat duduk di atas tong gas Mak Mah sambil menjerit, 'Yahoo yabeda bedu, dapat duduk yeye; dapat duduk yeye. Dapat duduk atas tong gas.'

Seorang pengunjung yang mengaku kebetulan lalu di lokasi kejadian untuk membeli bihun goreng memberitahu Buletin Berita Hairan, "Saya tak pasti apa yang berlaku. Tapi mereka ternyata berebutkan tong gas agaknya."

Mak Mah mendakwa beliau kemudian telah dikurung di sebuah kontena berdekatan. Kejadian aneh tersebut dipercayai berlaku kerana Mak Mah menjual denderam berwarna hitam.

"Soalnya, mana ada denderam warna biru, merah atau warna-warna lain? Mak Mah sangat kecewa, ini adalah hari yang 'hitam-hitam denderam' untuk penjual kuih seperti Mak Mah." Ujar Mak Mah sambil mengesat air matanya dengan hujung kurung. Kutang baju Mak Mah turut tercabut, nyaris menampakkan pusat. Adalah tidak dipastikan apakah kutang itu tercabut ketika bergelut atau memang Mak Mah sendiri mencarikkan bajunya supaya tampak lebih dramatik.

"Mak Mah masih pemilik tong gas dan penyewa tapak yang sebenar. Mak Mah tak redha, tak redha..." Tangis Mak Mah lagi dengan bersungguh-sungguh.

Sejauh manakah Mak Mah akan kembali menjual denderamnya yang popular itu tidaklah diketahui. Ekoran kejadian mengejutkan tersebut, pasar malam di Kelana Jaya telah ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.


sumber : http://tehranifaisal.blogspot.com

~ seswai ke tajuk tu?? mmm ~

1 comment:

with_maimi said...

Assalamualaikum sahabatku...

Kata-kata puitis daripada Faisal Tehrani ini punya maksud yang tersurat dan yang tersirat..

Teruskan perjuangan kita menegakkan kebenaran... InsyALLAH...