Tuesday, November 23, 2010

Peristiwa Memali

Bismillahi wal hamdulillah


“Yang wajib kita perjuangkan ialah Islam, bukan bangsa. Perjuangan bangsa ialah perjuangan taghut yang Nabi tidak mengaku ummat. Apalagi kerajaan yang zalim yang tidak menghukum dengna hukum Allah, memakai undang-undang otak manusia. Sebab itu, jika mereka mati di dalam perjuangan bangsa, Nabi tidak mengaku ummat.”

(ucapan Ustaz Ibrahim Libya-1985)

Watak utama kepada peristiwa Memali ialah seorang ulama muda yang berpengaruh dalam masyarakat tani di Baling, Ustaz Ibrahim Mahmud. Beliau yang lebih mesra sebagai Ustaz Ibrahim Libya merupakan sosok dakwah yang besar namanya di negeri utara semenanjung kerana kegigihan dan keghairahan berdakwah juga penguasaan ilmu Islam yang mantap yang dibenih secara formal. Jika dituduh sesat, ironisnya beliau mempunyai tauliah mengajar di Selangor dan Kedah. Bahkan menjadi penceramah radio dan TV.

Masih ramai yang tidak mengetahui cerita di sebalik arahan kejam pihak pemerintah ke atas Peristiwa Memali. ‘KUMPULAN AJARAN SESAT DITUMPASKAN OLEH PIHAK KESELAMATAN’ . Itulah tajuk yang tertera di hadapan Utusan Malaysia pada 20 November 1985 terus ‘menutupi’ perbuatan pemerintah ini. Kronologi peristiwa tersebut boleh didapati di sini. Berikut merupakan detik-detik cemas peristiwa Memali yang diceritakan sendiri oleh Ustazah Solehah,isteri As Syahid Ustaz Ibrahim Libya :

Fajar merah pagi 19 November 1985 itu disambut dengan laungan azan. Solehah bangun lebih awal dari itu. Ia tak begitu nyenyak tidur. Setelah bertemu beberapa minit dengan suaminya malam tadi, dia bertadarus al-quran serta berdoa sebanyaknya. Dia mohon agar Allah memberi kekuatan kepadanya. Kekuatan pada suaminya untuk menghadapi sebarang kemungkinan di siang hari esoknya.

Seperti biasa pagi itu, mereka solat subuh berjemaah bersama. Masih ramai lagi yang berada di rumahnya. Terutama kaum keluarga suaminya. Selesai solat, kuliah subuh diadakan seperti biasa. Suaminya kelihatan tenang sahaja dengan keadaan di luar rumah. Baginya, seolah tiada apa-apa yang sedang dan akan berlaku. Dia mengajar seperti biasa. Menanamkan semangat jihad yang bersungguh pada anak-anak buahnya. Solehah masih terbayang, antara kata-kata peringatan dan perangsang dari suaminya itu.

“jika sampai masanya kamu terpaksa berdepan dengan perjuangan yang memerlukan pengorbanan darah dan nyawa , jangan ada antara kamu yang memalingkan tumit-tumit kamu kedepan (lari). Kerana jika mati ketika lari itu, maka kamu telah tempah salah satu tiket ke neraka.”

Malam tadi ramai yang tidak makan nasi. Selera mereka agak tertutup dengan suasana yang ada di luar rumah. Pasukan anggota polis, terutama unit PPH semakin ramai.

Belum sempat sarapan pagi, solehah terdengar keadaan dia luar agak kelam kabut. Dia melihat di luar, pada sekumpulan lelaki. Suaminya ada di situ. Seperti ada suatu berita baru. Dia cuba memasang telinga, tetapi tak dengar perbualan mereka. Orang kampung pula, semakin ramai yang datang ke rumah mereka. Yang pulang selepas kuliah subuh tadi pun, nampaknya kembali semula.

Dari mulut beberapa muslimat di situ, barulah Solehah dapat tahu. Rupanya seorang anak buah suaminya dan dari Sik, datang membawa berita. Dia melihat trak polis, PPH (pasukan polis hutan) dan FRU terlalu banyak sedang menuju ke tempat mereka.

Solehah tidak lagi mempedulikan tugasnya di dapur. Ibu mertua, adik-adik dan keluarga perempuan juga begitu. Mereka mula memberi perhatian di luar rumah. Jam waktu itu baru pukul 7.30 pagi. Masih awal.

Kawasan rumahnya sudah dipenuhi dengan orang kampung. Begitu juga pihak polis. Solehah dapat saksikan, jumlah mereka yang terlalu ramai. Berada di sekeliling rumahnya. Nur Syuhada, anak bongsunya yang baru berusia beberapa bulan didukung erat.

Lebih kurang jam 8 pagi, Solehah mendengar suara dari arah hadapan rumahnya. Suara itu kuat dan jelas. Seperti menggunakan pembesar suara sahaja. Suara itu meminta orang kampung agar bersurai. Tetapi, tidaklah semudah itu. Kaum lelaki menyahut seruan itu dengan laungan takbir. Bergema suara takbir itu ke angkasa. Kanak-kanak dan kaum perempuan turut bertakbir juga. Soleha tidak lagi tinggal di atas rumah. Sambil mengendong anaknya, beliau turut berada bersama-sama kaum muslimat yang lain.

Laungan takbir dan doa wehdah yang dialunkan penduduk kampung semakin memuncak. Semakin lama semakin kuat. Tiada lagi suara dari pembesar suara. Yang kedengaran, hanya laungan takbir dan doa wehdah bersahut-sahutan. Solehah tidak nampak suaminya berada di mana ketika itu.

Di celah-celah orang ramai itu, Solehah nampak sebuah kereta perisai. Sedang terdampar megah di hadapan pintu pagar rumahnya. Dipenuhi dengan anggota polis yang lengkap bersenjata. Polis wanita pun ada. Sementara orang kampung pula hanya bersenjatakan buluh, kayu, parang dan lastik. Seorang dua sahaja kelihatan memiliki pedang.

Laungan takbir dan doa wehdah, semakin bersemangat. Orang kampung seperti bulat hati. Sepakat,seia dan sekata. Mereka telah memutuskan untuk teruskan perjuangan. Walaupun darah dan air mata akan mengiringi perpisahan antara roh dan jasad. Mereka tekad untuk menghadapinya.

Tiba-tiba, melayang objek berbentuk bulat-bulat ke arah orang kampung. Asap keluar dari objek-objek bulat seperti besi itu. Pedih sangat. Bukan sahaja pada mata tetapi pada tekak juga. Orang kampung mula bertempiaran mencari perlindungan. Sambil mendukung anak bongsunya, Solehah berlari ke bawah rumah. Ramai muslimat lain berlindung disitu dengan mata yang merah menahan kepedihan. Seorang dua kanak-kanak mula sesak nafas. Begitu juga anaknya.

Di luar, persekitaran rumahnya diselaputi asap dari bom-bom gas yang dilepaskan oleh polis. Suasana penduduk kampung kelam kabut. Ada yang mencari perlindungan. Ada yang membantu teman. Antaranya berusaha mendapat guni atau kain, dibasahkan untuk menghalang gas dari beterbangan ke udara. Ada yang lebih berani. Dengan cepat mendapatkan bom gas yang belum berfungsi lalu dibalingkan semula ke arah polis.

Anaknya pengsan dalam ribaan ketika beliau berusaha untuk melindungi anaknya daripada gas tersebut dan diserahkan dengan hati yang berat kepada seorang anak kampung lain yang ingin membantu. Solehah berdoa agar dia dapat dipertemukan semula dengan anaknya.

Serangan gas dari anggota polis ini memakan masa yang lama. Alhamdulillah penduduk kampung nampaknya boleh bertahan. Keadaan asap gas yang tebal itu, akhirnya berkurangan sedikit, apabila hujan renyai-renyai turun. Pertolongan dari Allah. Sungguhpun begitu, anggota polis tetap melepaskan tembakan gas untuk menyuraikan penduduk kampung. Namun penduduk kampung tetap dengan pendirian mereka.

Waktu ini, Solehah terdengar seperti bunyi tembakan. Bunyinya dari arah jalan raya menuju ke pintu masuk rumahnya. Arah kereta perisai. Dia sempat melihat, sekujur tubuh perlahan-lahan rebah tidak jauh dari hadapan kereta perisai. Ia tidak dapat memastikan siapa sebenarnya yang ditembak itu. Kelihatan seperti Cikgu Shafie. Seorang guru yang mengajar di sekolah menengah Siong.baru beberapa bulan berkahwin.

Perasaan takut hilang dengan tiba-tiba. Solehah merasa gembira. Dia teringin untuk mati. Mati syahid. Dia mahu mengikut Masyitah. Dia mahu menjejak Sumaiyah. Dia sudah lupa tentang anaknya, tentang suaminya.

Hampir jam 1 tengahari, tanpa diduga Solehah terkejut besar apabila mendengar bunyi tembakan yang bertubi-tubi. Pekak rasa telinganya mendengar bunyi tersebut. Dia kaku sebentar. Beberapa ekor ayam terpelanting jauh,bulu-bulu ayam berterbangan bila terkena tembakan. Orang kampung bertempiaran lari mencari perlindungan. Terdengar juga sayup-sayup suara menyuruh mereka meniarap. Dia segera meluru ke arah bawah rumah. Muslimat yang lain kelihatan panik sambil mendakap erat anak masing2.

Setelah beberapa minit berlalu, bunyi tembakan tidak kedengaran lagi. Solehah perhati di luar. Dia menjenguk kalau-kalau ternampak suaminya. Tak nampak. Keadaan sunyi. Tak ada yang berani bergerak. Terdengar suara tangisan kanak-kanak. Sayu rasa hati Solehah. Teringat pada anak-anaknya yang dibawa keluar tadi.

Sejurus itu, soleheh melihat isteri muda meluru keluar bersama dua anak kecilnya. Solehah dapat lihat kedua beradik lelaki ini bertelanjang bogel. Kulit badan mereka kelihatan kemerahan, mungkin kesan dari gas tadi.

“ke mana pula Rokiah ni, mencari suami agaknya,” fikir Solehah.

Sebentar kemudian, solehah mendengar suara tangisan kanak-kanak. Mungkin suara anak Rokiah tadi. Solehah menahan perasaan sedihnya.

“akan yatimkah anak-anak itu,” tanya gerak hatinya.

Tiba-tiba, suaminya menghampiri mereka di situ. Suaminya mendekatinya dan mengingatkannya supaya meniarap jika takut. Solehah menarik nafas kelegaan sebaik sahaja memandang wajah suaminya itu.

Perasaan lega Solehah tidak lama. Sekali lagi dikejutkan dengan bunyi tembakan. Kali ini terasa lebih kuat, lebih dahsyat dari serangan pertama tadi. Bunyi seperti terlalu hampir dengan mereka. Solehah dan yang lain-lain terus meniarap. Badan mereka tidak bergerak.

Sebaik sahaja bunyi tembakan sepi, Solehah mendengar suara dari beberapa muslimat.

“ Ustaz Man kena tembak. Ustaz Man kena tembak.”

Tanpa memikir panjang, solehah segera mendapatkan suaminya. Belum beberapa langkah, hatinya berdebar-debar, jantungnya bergerak laju bagaikan air terjun. Matanya terpaku pada sekujur tubuh yang berlumuran darah. Ia kenal pada tubuh dihadapannya itu. Itulah Ustaz Man, suaminya. Suaminya berada dalam pangkuan seseorang.

Solehah tidak peduli lagi apa yang ada di sekeliling. Dia tidak fikir lagi mengenai polis, tentang peluru dan segala bahaya. Ia meluru ke arah suaminya. Lalu dipangku suami kesayangannya itu. Kepala suaminya di riba. Suaminya masih bernafas.

“Emak jangan takut. Awang ada. Awang ada. Awang akan jaga mak,”

Solehah mendengar suara bersemangat dari seorang anak muda. Mungkin anak Mak Lang Aishah yang sedang memujuk emaknya.

Air mata jernih Solehah, mula membasahi pipi. Semakin lama semakin laju. Menitik satu persatu ke atas dada suaminya. Bersatulah air jernih itu dengan simbahan darah merah. Seolah-olah terikat satu perjanjian. Cantuman air dan darah yang akan mengalir menuju kewangian syurga firdaus. Solehah sendiri tidak faham kenapa air mata itu mengalir. Apakah kerana sedih atau gembira. Lantas mulutnya berkata.

“sudah sampai apa yang abang doakan selama ini. Besyukurlah, mengucaplah.”

“abang kena apa?” suaminya bersuara.

“ kena tembak,” jawabnya ringkas.

“alhamdulillah,” kata-kata terakhir dari suaminya…

Ibu mertuanya turut berada disitu. Emak ustaz Ibrahim mengambil beberapa helai daun. Diupar-uparkan daun itu, lalu ditampalkan pada luka di paha. Tidak ada perubahan. Darah tetap mengalir keluar. Ustaz Ibrahim tidak bergerak lagi. Badanya lembut dan terasa panas. Tak ubah seperti orang sedang tidur. Sambil membelai kasih rambut suaminya, Solehah dikejutkan oleh suara lantang dari beberapa lelaki.

“ serah diri! Angkat tangan!”

Solehah mendongak ke atas. Beberapa orang polis sedang mengelilinginya. Muncung senapang dihalakan padanya. Solehah memeluk erat suaminya. Tidak mahu dilepaskan.

“ cepat serah diri, kalau tidak kami tembak!” gertak salah seorang anggota polis

Solehah merenung tajam pada anggota polis berkenaan.

“ tembaklah!” tegas Solehah.

Agak lama juga barulah Solehah bangun mengikut polis tadi ke arah trak polis yang tidak jauh dari pintu masuk rumahnya. Sewaktu berjalan keluar, Solehah dapat lihat beberapa tubuh orang kampung rebah ke bumi.

Hatinya amat sedih melihat kaum lelaki kampungnya diperlakukan seperti binatang. Ada yang dipukul dengan buntut senapang, disepak terajang atau ditempeleng. Termasuk adiknya, Din. Beberapa kali adiknya ditendang sebelum naik ke trak.

Tidak jauh dari situ, Solehah ternampak pula sederet orang-orang lelaki yang sedang meniarap. Beberapa orang polis lelaki berjalan-jalan dia atas mereka yang meniarap itu. Tak ubah seperti tentera jepun sedang mendera tahanan.

Sungguhpun begitu, Solehah tidak mendengar satu suara kesakitan dari mereka. Tidak mendengar mereka mengaduh atau meminta tolong.

“ Ya Allah! Tetapkanlah iman kami. Berilah pertolonganMu pada kami ini. Jauhkanlah kami dari segala kejahatan manusia.” Hati kecil Solehah berdoa pada Illahi.

(Dipetik dari buku ‘memoir tragedi Memali’ oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor dan C.N Afghani)

Terlalu amat banyak kekejaman ke atas mangsa-mangsa Memali ini yang dibongkarkan di dalam buku ini.. Menghabiskan buku 'Memoir tragedi Memali' bisa membuatkan air mata anda tidak berhenti-henti mengalir dan membangkitkan roh jihad di saat-saat anda memerlukannya.. Mereka yang tidak mengetahui atau mengalami sesuatu situasi sudah tentu tidak memahami perkara tersebut dengan mendalam...

~ daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati bergalang tanah. ( Ustaz Ibrahim Libya) ~

No comments: