Sunday, December 7, 2008

NiLai SeBuaH PeNgoRBaNaN..

Salam'alaik...

Setiap kali kita menerima tanggal 10 Zulhijjah, pastinya lembaran silam akan bermain di lubuk sukma , memutarkan kembali kisah seorang hamba Allah yang taat melaksanakan perintah Al-Rabb , di samping kesabaran seorang anak dan seorang ibu dalam mematuhi perintah Allah.

Betapa agung keluarga ini yang sanggup membuang resah hati seorang insani demi erti sebuah ketaatan. Allah berfirman di dalam Al-Quran menyatakan ketulusan hati Nabi Ibrahim :

'Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah terdiri dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.'

Bayangkan suasana ketika Allah memerintahkan Nabi Allah Ibrahim untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri, Ismail Alaihissalam.

Sungguh perintah ini sangat menyayat hati. Hati ayah manakah yang akan tergamak menyembelih darah dagingnya sendiri? Hati ibu manakah yang tidak akan tersentuh apabila anak kesayangannya ditakdirkan mati di tangan suaminya sendiri. Seakan dunia ini sudah tidak punya ertinya lagi seandainya kehidupan ini dilalui tanpa insan tersayang.

وَا حَسْرَةً للْفَتَى ساعَــ ـةً يَعِيشُها بعد أحِبَّائـهِ عُمْرُ الفَتى لو كان في كَفِّــه رَمَى به بعد أوِدَّائـهِ
Alangkah sedihnya bagi seorang yang menemui satu ketika,
Dia hidup tanpa kekasihnya di sisinya,
Kalaulah nyawa itu berada di tapak tangan,
Pasti kan dilemparkan apabila kekasih sudah tiada.

Namun apabila di sana berlaku pertembungan antara tuntutan Allah dan runtunan jiwa, mukmin sejati akan pasrah dan tunduk memuliakan perintah Penciptanya. Itulah yang berlaku dalam keluarga soleh ini.

Si ayah melemparkan rasa kasihannya demi kerana Allah.
Si ibu tega menyeka air matanya semata-mata rindu kepada cinta Allah.
Si anak sabar dalam menghadapi ujian kematian semata-mata kerana redha dan menyakini bahawa diri ini adalah kepunyaan Allah.

Namun Allah tidak berlaku zalim terhadap hambanya. Arahan yang dikeluarkan hanya untuk mencuit hati insan sepanjang zaman agar menginsafi erti sebuah pengorbanan.

'Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.'

Persoalannya adakah kita benar-benar meletakkan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya? Adakah benar kita telah menjadi seorang yang mempraktikkan ikrar setia harian kitaإِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
dan ia benar-benar terlaksana?

Kita sedih dengan apa yang menimpa generasi Muslim yang kian parah jati dirinya. Akhlak yang merudum, keperibadian yang kian bernanah memburukkan lagi usaha untuk mencari redha Allah.

Budaya ikhtilat ( pergaulan bebas ) yang menyemarakkan api nafsu di kalangan muda mudi yang sunyi daripada syariat Islam semakin menjadi-jadi. Sang jejaka sudah tidak segan silu untuk menodai sang gadis demi cinta kononnya . Kemudahan teknologi dan tamadun moden yang ada , digunakan bagi memohon murka dan kebencian Allah.

Budaya untuk mengimarahkan rumah Allah semakin dipinggirkan. Rumah Allah sepi tanpa dihiasi dengan solat berjemaah tanda kepatuhan kepada Allah , seakan-akan tidur dan dunia lebih besar daripada menyahut panggilan Allah.

Apakah ini tanda bahawa ruh pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga sudah mampu untuk kita realisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari? Adakah ini model terbaik kepada satu peribadi yang bakal menjadi galang ganti kepada perjuangan para nabi? Nabi SAW menyatakan:

'Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan bakal menimpa kamu tetapi aku aku takut seandainya kamu akan dibentangkan dunia di hadapanmu lantas kamu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sebagaimana umat sebelummu berusaha untuk mendapatkan dunia lantas dunia menghancurkan kamu sebagaimana dunia telah menghancurkan umat sebelum kamu.'

Sudah sampai masanya kita kembali menyatakan ketaatan kita kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang semakin membarah di kalangan kita agar Allah memberikan peluang kepada kita untuk dipilih menjadi penggerak ummah bertuah ini.Allah berfirman:

'Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).'

Ibadah korban yang disyariatkan pada hari raya Idul Adha ini merupakan simbolik kepada memperingati pengorbanan yang luar biasa yang dipersembahkan oleh Nabi Allah Ibrahim sekeluarga. Korban di sisi Islam dilaksanakan semata-mata mengharap redha Allah Taala berbeza dengan korban yang dilaksanakan oleh masyarakat jahiliyyah yang dipersembahkan kepada Al-Latta dan Al-Uzza.

Allah tidak menginginkan darah serta daging binatang yang disembelih namun keikhlasan yang lahir daripada hambaNya akan menganugerahkan penerimaan ibadah tersebut. Manifestasi pengorbanan ini perlu diserapkan untuk mendarah daging dalam setiap jiwa umat Islam.

Namun, seandainya kita meneliti realiti keadaan umat Islam hari ini, kita akan dapati betapa jauhnya mereka dengan nilai pengorbanan yang meletakkan kemahuan Allah itu di puncaknya. Umat Islam sangat parah dengan pelbagai penyakit yang membawa kepada kejauhan daripada kasih sayang Allah.

Mereka dihinggapi dengan penyakit krisis keyakinan terhadap kemampuan Islam sebagai jawapan dalam semua permasalahan. Betapa ramai di kalangan umat Islam yang tidak mahu berjuang untuk meletakkan Islam kembali dijulang. Islam dianggap sebagai upacara keagamaan semata-mata. Islam dianggap bukan penyelesaian kepada masalah kenegaraan, politik, ekonomi, sosial dan undang-undang.

Teori ortodok memisahkan agama daripada kehidupan masih dianuti. Mereka cuba untuk meracuni jiwa muslim agar beriman dengan kata-kata yang menjadi asas teori sekularisme:

Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan serahkan urusan Allah kepada Allah

Ulamak dipersenda. Kata-katanya dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Budaya hiburan tanpa batasan Islam semakin menular di dalam jiwa muda-mudi Islam. Ulama bisu cuba untuk memesongkan agama Allah semata-mata kerana sekelumit habuan dunia . Agama Allah cuba untuk dicabuli.

Undang-undang Allah dianggap sebagai undang-undang rimba yang hanya membawa negara kepada kemunduran. Murtad semakin menjadi-jadi. Zina seperti perkara biasa.

Demi tuhan Kaabah ! Allah sama sekali tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam selagi mana ummat ini tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Allah akan terus menjadikan umat ini hina di sisi musuh selagi mana mereka masih lagi betah untuk mengabdikan kehidupan mereka dengan sistem jahiliyyah moden rekaan tangan-tangan manusia yang dicipta tanpa mengambil peduli kehendak Allah Rabbul Alamin.

'Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.'

Kata pujangga:
إذا الإيمانُ ضاع فلا أمانَ ولا دنيا لِمَنْ لمْ يُحْيِ ديناَ ومَنْ رَضِيَ الحياةَ بغير دينٍ فقد جعل الفَناءَ له قرينَا
Apabila iman sudah lenyap maka tiada lagi erti keamanan,
Dan sesungguhnya tiada erti kehidupan dunia bagi orang yang tidak mendirikan agama,
Sesungguhnya orang yang redha menjadikan kehidupan dunianya sunyi daripada agama,
dia telah menjadikan kehancuran itu sebagai teman karibnya.

Sesungguhnya kita ini merupakan satu ummat yang dimuliakan oleh Allah semata-mata kerana Islam. Apabila kita cuba untuk mencari kemulian selain daripada Islam maka yakinlah bahawa kita akan dihina oleh Allah Taala.

Wahai hamba Allah ! Wahai insan yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah. Adakah kamu mengambil segala apa yang berlaku ini sebagai satu tarbiah dan tazkirah buat diri kamu? Adakah kamu masih lagi berasa aman daripada kemurkaan Allah?

Adakah kamu tidak memikirkan langsung walau sejenak bahawa Allah mampu untuk menghancurkan kamu dan insan sekelilingmu , lantaran maksiat dan perderhakaan yang kamu persembahkan kepada Rabbul Alamin? Apakah kamu masih menyangka bahawa azab yang pedih daripada Allah yang pernah ditimpakan kepada umat sebelummu seakan-akan satu dongengan yang tidak akan sama sekali menimpamu?

Insafilah duhai sahabat yang bakal menjadi pewaris perjuangan para nabi dan rasul agar kita benar-benar berusaha untuk menjadi hamba Allah yang berusaha untuk membentuk syakhsiah yang terpuji. Pasakkan kembali ruh pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar di sanubari kita.

Berusahalah untuk kalian meraih cinta abadi daripada Rabbul Izzati dengan usaha gigih meninggalkan segala sifat cela yang hanya akan mengundang benci dan murka dariNya.

Wahai hamba Allah yang beriman kepada aqidah Islam yang Maha Suci. Marilah kita sama-sama memikirkan nasib umat Islam yang semakin hari semakin tenat dibunuh, ditindas dan dianiaya tanpa sebarang dosa.

Allah taala mampu untuk memberikan kemenangan kepada umat Islam apabila umat bertuah ini sudah sedar dan mahu kembali menyandang amanah jihad bagi memastikan kitab Allah dan sunnah RasulNya kembali menjuarai sistem kehidupan sejagat.

*Artikel ini adalah hasil karya Ustaz Nasruddin Tantawi yang menulis di blog beliau, http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/..

~ Bersama-samalah kita berusaha mengorbankan segala yang kita ada dari sudut kewangan, masa, tenaga, buah pikiran dan segala-galanya demi memajukan agama kita, Islam yang tercinta.. SALAM EIDUL-ADHA ~

No comments: