Tuesday, June 2, 2009

Secebis Pengalaman..

Bismillahi Wal Hamdulillah..

Apabila memikirkan ke manakah hala tuju anak muda zaman sekarang, penaip amat risau.. Bagaimana dengan nasib anak-anak muda pewaris generasi masa akan datang.. Terbayang wajah adik- adik penaip yang kini menginjak ke alam dewasa. Persekitaran baru yang amat penaip risaukan. Kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang kian membarah sudah terlalu banyak didengari,ditonton malah dilihat sendiri oleh mata kasar kita. Namun, apa tindakan kita? Ianya seolah-olah seperti gigitan nyamuk bagi kita, sekejap terasa gatalnya tapi dilupakan semula.

Menyentuh mengenai peluang pendidikan yang diterima di sekolah, mungkin ramai yang bertuah kerana masih mempunyai mak dan ayah yang menanggung perbelanjaan persekolahan. Bagaimana dengan kawan-kawan yang terpaksa membantu keluarga mereka mencari sesuap rezeki disamping mengejar pembelajaran yang diadakan di sekolah. Begitu juga kawan-kawan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian di sekolah atas desakan hidup. Itu bagi mereka yang benar-benar mahu meneruskan pengajian, ada keinginan untuk belajar tetapi tidak mempunyai kesempatan. Bagaimana pula dengan golongan yang mempunyai segala-galanya, keluarga, wang dan kelengkapan lengkap untuk ke sekolah? Tapi, mereka masih tidak berminat untuk meneruskan pengajian atas alasan “ alah, gaji mak bapak aku setahun pun da cukup biaya aku dan 7 keturunan aku”.. Namun begitu,ada juga di kalangan mereka yang tidak bernasib baik ini, tidak berminat untuk menuntut ilmu malah mensia-siakan usaha,titik peluh ibu bapa yang menghantar mereka ke sekolah.. Di mana silapnya? Jiwa mereka kosong…

Teringat satu peristiwa semasa prapraktikal dulu, di mana pernah terdetik dalam fikiran penaip untuk marahkan seorang murid kerana cuba mengoyakkan seluar sekolahnya di bahagian lutut. Terngiang-ngiang ayat-ayat yang penaip ingin hamburkan padanya, bergema-gema di dalam kepala penaip namun semua ayat-ayat itu tak mampu penaip keluarkan. Apa yang penaip lakukan hanyalah meminta pisau nipis yang sedang dipegang olehnya yang digunakan untuk mengoyakkan seluar tersebut. Pada mulanya dia enggan, lalu dia memotong rambut kawannya pula. Penaip bertegas inginkan pisau yang berada di tangannya. Pada ketika itu, mungkin atas desakan rakan sekelasnya dan mereka tidak pernah melihat penaip menunjukkan muka marah yang teramat sangat di dalam kelas itu, akhirnya dia menyimpan kembali pisau itu. Bukan penaip marahkan dia membawa pisau itu, tapi tindakannya yang ingin mengoyakkan seluar itu yang penaip tak boleh nak maafkan. Penaip kenal ibu bapanya. Mereka berhempas pulas mencari wang seringgit dua untuk menyara hidup mereka anak beranak, namun tindakan murid ini,hampir-hampir menggugat kesabaran penaip pada ketika itu. Andai mereka tahu betapa susahnya ibu bapa mereka mencari wang untuk membeli seluar sekolah tersebut, nescaya untuk mengotorkannya sahaja mereka tidak sanggup.

“ Sekali lagi cikgu nampak awak buat macam tu, cikgu amik pisau tu,”. Hanya itu yang mampu penaip ucapkan.

Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini. Saat itu, terasa betapa beratnya tugas sebagai pendidik.Ingin sekali penaip membebel dan meleteri kelas itu mengenai jasa ibu bapa yang selama ini bersusah payah mencari sesuap rezeki untuk kita, tapi kita tak menghargai langsung usaha mereka. Tapi, entah mengapa, sukar benar mahu dituturkan pada ketika itu. Melihat wajah-wajah di dalam kelas itu yang sememangnya kerap menjadi mangsa leteran cikgu-cikgu lain membuatkan penaip membatalkan niat tersebut. Kelas itu terdiri daripada 12 murid-murid tingkatan satu yang masih tidak tahu membaca dan menulis. Ada 3 orang murid perempuan manakala yang lain adalah lelaki. Pada peristiwa tersebut, penaip ditugaskan supaya menggantikan GPK HEM, Ustazah Azizah untuk subjek Agama Islam. Ini merupakan kali kedua penaip ditugaskan untuk masuk ke kelas ini dan merupakan kelas yang paling penaip suka masuk. Selalu tertunggu-tunggu bila nak dapat ‘relief class’ kat kelas ni..

Kali pertama, penaip ditugaskan untuk menjaga peperiksaan subjek pendidikan seni. Pada ketika itu, memang tak macam periksa pun penaip jaga. Mereka bebas datang kepada penaip untuk bertanyakan apa yang soalan mahukan. Dan satu tabiat murid dalam kelas ni, diorang memang tak lekat di tempat duduk masing-masing. Mesti ada yang berjalan ke sana ke mari. Ketika penaip berada di meja rakan mereka untuk menerangkan mengenai kehendak soalan, mesti ada seorang dua yang datang mendengar sekali. Penaip sukakan semangat ingin tahu mereka dan membiarkan sahaja mereka bergerak kesana kemari ketika peperiksaan berlangsung. Pada waktu tersebut, penaip menyalahkan sistem peperiksaan yang memberikan soalan yang sama dengan tahap murid-murid yang berada di kelas-kelas yang lebih maju daripada mereka. Mana mungkin mereka boleh menjawab soalan sedangkan murid-murid di dalam kelas tersebut masih merangkak untuk membaca. Soalan yang diberikan adalah berbentuk soalan objektif dan beberapa soalan subjektif.

Pada kali kedua, Ustazah Azizah mengarahkan penaip memberi jawapan peperiksaan kepada mereka. Ketika melangkah masuk ke kelas mereka, beberapa murid yang bukan beragama Islam keluar dari kelas dan tinggallah beberapa orang sahaja di dalam kelas tersebut. Semuanya lelaki. Yang perempuan 2 orang merupakan penduduk pribumi ( orang asli) manakala seorang lagi adalah berketurunan India, beragama Hindu. Selain itu, beberapa orang lelaki ‘pribumi’ turut keluar. Sebelum membenarkan penaip mengambil alih kelas tersebut, Ustazah Azizah memberikan kembali kertas-kertas jawapan mereka. Kebanyakkannya ‘kosong’ tanpa ada sepatah perkataan. ‘No wonder’ lah, sebab mereka dapat soalan yang sama dengan murid-murid lain. Ustazah Azizah berpesan kepada penaip supaya mengarahkan mereka membuat latihan ejaan perkataan yang ada dalam agama Islam. Penaip terpana seketika.

“ Semua perkara dalam dunia ni ada kaitan dengan agama Islam, contohnya pokok kat luar tu, mesti ada penciptanya, begitu juga dengan diri kita…..” Penaip memulakan pelajaran pada hari itu.

Ketika penaip meminta setiap orang sediakan sehelai kertas kosong dan pen untuk sesi ejaan seperti yang diarahkan oleh Ustazah Azizah, hanya beberapa orang sahaja yang mengeluarkannya. Yang lain tidak mempunyai kertas kosong malah buku-buku yang lain juga tiada. Alasannya tertinggal di rumah.

“awak nak suruh wan awak baca buku kat umah ke?” sindir penaip. Dah macam mak nenek dah aku masa tu.

“ Sape ada ketas lebih, bagi kat kawan awak ni, ketas kecik pun tak pe, asal boleh tulis..”

“Pensel pun tak de? Sape nak dapat pahala, bagi pinjam pensel kat kawan awak ni..”

Penaip banyak menggunakan bahasa kampung dalam sesi pelajaran kerana penaip lebih selesa menggunakannya. Ternyata mereka jenis yang mendengar kata, cuma mereka agak lambat untuk menerima sesuatu. Memang penat melayan ‘hujah-hujah’ mereka namun melaluinya penaip dapat menyelami perasaan mereka. Ketika kelas berlangsung, rakan-rakan non muslim berlegar-legar di luar kelas. Rupa-rupanya subjek pendidikan moral diorang takde cikgu yang masuk, jadi penaip pun arahkan mereka masuk ke kelas.

“ Eh, mana boleh masuk kelas agama Islam ustazah, dorang kan orang asli,” ucap salah seorang murid.

“ La.. apa salahnya, sape cakap dorang tak leh masuk? Ha, yang kat luar tu, masuk, duduk dalam kelas ” Balas penaip, sedikit kecewa dengan mind setting mereka terhadap pelajar bukan Islam.


Ketika kelas hampir berakhir, barulah penaip perasan akan tingkah laku seorang murid ni. Kelihatan dia mengguris-guriskan sesuatu di lututnya. Terjadi la peristiwa yang penaip ceritakan dia atas tadi.

Bermacam-macam karenah murid-murid yang penaip hadapi ketika pra praktikal dahulu. Pernah penaip dipermainkan oleh seorang ‘budak kecik bertelinga cegeng’ dan pada ketika itu, satu blok kelas ketawakan penaip. ‘Aduh, membara gila ku rasakan ketika itu. Heh, nasib baik aku kenal mak bapak korang, buatlah pelik-pelik, aku report kat mak bapak korang’. Tapi yang tak tahannya, penaip tergelak sekali ngan dorang, huhu.. Tak sempat nak marah ‘budak telinga cegeng’ tu.. Agaknya sebab tu kot orang lain gelak sekali.. Jujur penaip katakan dalam minggu pertama, memang takde semangat langsung nak jadi cikgu. Soalan ‘betul ke aku nak jadi cikgu ni’ seringkali berlegar-legar dalam kepala penaip. Tapi, bila dah kenal sedikit sebanyak ‘feel’ dan telatah murid-murid, azam untuk membentuk mereka menjadi ‘manusia’ terpahat tebal di jiwa ini.. Manusia zaman ini sudah tidak lagi berfungsi sebagai seorang manusia.

~Berdasarkan pemerhatian penaip ketika prapraktikal, kepada pendidik di luar sana, elakkan bersikap terlalu cepat menghukum. Kadang-kadang sikap kita yang terlalu cepat menghukum akan membentuk pelajar yang cepat menerima apa sahaja pandangan negatif kita terhadap dirinya dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa dirinya tidak mempunyai harapan untuk berubah kearah yang lebih baik~

1 comment:

with_maimi said...

Alhamdulillah.. Assalamualaikum bella.. Alhamdulillah syukur padaNya kerna memberi peluang tuk singgah kt blog penuh mutiara ini bel.. Wow, tak sangka, sukarnya menjdai pendidik. Banyak menguji kesabaran tapi ingin jadi seperti bel.. terign nk jdik guru, tpi mampukan maimi setabah bel.. Teruskan perjuangan sebagai seorng pendidik.. Moga anak-anak didikmu lebih mengerti erti ilmu di zaman ini. Ilmu berniatkan hanya kerna ALLAH.. segalanya keranaNYA.. amin.. salam perjuangan dari maimi bella.. :)